“كل من عليها فان”

Tazkirah Dari Ilahi

June 15, 2009 · 1 Comment

Dalam 2 minggu ini,banyak saja peristiwa yang menyentuh jiwa saya. Kalau boleh di senaraikan peristiwa dan pengajarannya untuk diri ini meneruskan langkah menyusuri masa depan, mungkin menghadap komputer selama setengah hari atau menulis di kertas berkajang-kajang masih tidak selesai.

Yang lebih merugikan lagi tabiat saya yang suka merangka-rangka sesuatu tanpa di lahirkan dan di terjemahkan di dalam bentuk yang boleh di ulang-ulang melihatnya menyebabkan saya sendiri tertanya-tanya, “Apa sebenarnya yang aku lalui sepanjang hidup ini?”.

Barangkali orang-orang di sekelilingku yang boleh memberikan jawapannya Cuma,khabar dari ardul kinanah, Mesir yang satu ini, benar-benar memberi pengajaran kepada diri.

Kematian, Ketetapan Azali

Mendengarkan berita dari isteri saya tentang kematian pelajar perubatan di Mesir baru-baru ini semacam satu mimpi. Rasanya semacam satu kejanggalan bila di ceritakan tentang orang yang masih muda usianya telah di panggil ilahi. Semacam kita yang memegang ajal ketetapan tuhan sekaligus ianya terzahir dalam hidup kita yang masih muda ini dengan banyak mengejar keduniaan dan meletakkan persediaan bagi menghadapi kematian keutamaan terbawah.

Bukankah Allah Taala berfirman:

Katakanlah (Wahai Muhammad), sesungguhnya kematian yang kamu larikan diri darinya,ia akan tetap menemui kamu.

Sepanjang saya duduk di Mesir, hanya sekali saya menghadapi kematian sahabat terdekat iaitu arwah Razi. Kesedihan lebih terasa ketika itu mungkin di sebabkan saya mengenali dari arwah sejak hari pertama beliau menjejakkan kaki ke bumi Mesir. Mungkin darjat kesedihan orang yang mengenali si mati lebih tinggi berbanding dengan orang yang sekadar pernah mendengar nama mereka.

Walau siapa pun mereka, janji Allah Taala telah mereka temui. Tinggal kita yang masih hidup, perlu terus mendoakan rahmat untuk mereka dan lebih-lebih lagi untuk diri sendiri yang belum pasti hujung usianya. Allahuma ikhtimlana bi husnil khatimah

p/s: Saya selalu merangka-rangka untuk menulis tentang dunia perubatan yang kosong nilai.

Baru-baru ini, saya di beri kesempatan oleh Allah Taala untuk hadir dalam kursus bekam sunnah yang membincangkan mukaddimah tauhid bagi perawat muslim. Harapnya, saya di izinkan Allah untuk menulis tentangnya. (Ada sesiapa yang punya ubat untuk orang yang culas menulis?)

→ 1 CommentCategories: General Musings

Di Luar Kotak Seorang Doktor

April 28, 2009 · 1 Comment

 

 

Hari ini, sekali lagi diri saya di bawa berfikir. Berfikir tentang peranan . Bekerja di Jabatan Kecemasan ini menyebabkan saya turut terlibat dengan kes medicolegal (kes dalam siasatan polis) seperti kes rogol yang kebanyakannya suka sama suka, kes penyalahgunaan dadah, pengambilan darah untuk pengesahan DNA penjenayah dan macam-macam lagi perkara yang menyesakkan dada melihatkan kroniknya penyakit masyarakat yang jauh dari nilai agama.

Keep reading →

→ 1 CommentCategories: Dakwah · Perawat Mu'min

Hari-Hari Di Wad Ortopedik

March 31, 2009 · 6 Comments

16 Oktober 2008 

Jika belajar bidang perubatan lebih dari sekadar payah.

Menjadi pengamal perubatan yang ikhlas dan dan sabar perlu dibayar dengan harga sebuah mujahadah.

Terakhir Di Ortopedik

Bulan ini merupakan bulan terakhir saya di Jabatan Ortopedik. Bila di kenang-kenangkan, pengalaman selama 4 bulan berhadapan dengan pelumba haram tidak bertauliah (baca:mat rempit) hinggalah merawat seorang kanak-kanak yang hancur beberapa puntung jarinya beberapa hari sebelum hari raya Aidilfitri baru-baru ini, merupakan satu pengalaman yang sukar untuk di lupakan. Benar, tanpa kesabaran (atau memaksa diri untuk sabar sebagaimana yang selalu saya amalkan), posting ini seumpama satu tempoh membuang masa sia-sia, merawat orang yang tidak pernah reti menilai nikmat anggota tubuh badan yang dikurniakan Tuhan kepada mereka. Bak kata kawan-kawan saya:

“Kita yang lebih sayang mereka lebih dari diri mereka sendiri”,

Sehingga seakan sudah menjadi rutin dikalangan kami untuk berceramah dan berleter kepada mat-mat rempit sebelum memberi rawatan kepada mereka.

Nilai Manusia

Itu dari satu sudut. Di Jabatan Ortopedik ini jugalah  saya belajar untuk menerima dan merawat pesakit walau bagaimana sekalipun latar belakang mereka. Ya, mereka golongan yang tidak tahu erti  nilai suatu nyawa. Mereka juga mungkin seorang yang ingin berseronok tanpa memikirkan kesan tindakan mereka kepada diri dan keluarga. Tetapi mereka tetap satu amanah yang di hantar oleh Allah. Ini satu tanggungjawab. Bukan beban apatah lagi merasakan mereka tiada harga untuk di berikan rawatan sebagaimana pesakit yang lain.

Pesanan Syeikh Yusuf Al Hasani

Semuanya mengingatkan saya akan pesan Syeikh Yusuf ketika mengadakan pertemuan bersama kami; Pelajar perubatan di Mesir suatu masa dahulu. Katanya:

Sebagaimana seorang Ulama’ itu menunjukkan jalan untuk beribadah kepada Allah melalui curahan ilmunya,begitulah kemuliaan tugas seorang pengamal perubatan,yang juga menunjukkan jalan kepada ubudiah dengan merawat seorang pesakit sehingga mampu kembali beribadah. Masing-masing punya peranan menyebarkan rahmat Allah kepada sekalian hambaNya mengikut kemampuan dan kebolehan yang dikurniakan oleh Allah kepada mereka.

Allah berfirman dalam surah Isra‘:

“Katakanlah, setiap mereka beramallah mengikut kemampuan yang ada, maka Tuhanmu lah yang lebih mengetahui siapa yang mendapat petunjuk”.

Jika ianya benar-benar dapat di fahami oleh pengamal perubatan, nescaya pekerjaan mereka akan di nilai sebagai ibadah, berbanding dengan seorang yang hanya memberi rawatan untuk mendapat keuntungan di atas musibah yang menimpa seorang hamba Allah.

Ruang Mujahadah

Yang pasti, praktiknya tidak semudah teorinya. Meminjam kata-kata Ustaz Hasrizal, ramai yang TAHU, tetapi sedikit yang MAHU apatah lagi MAMPU untuk mengamalkan. Di sinilah ruang mujahadah. Tanpa mujahadah dan kesungguhan, pasti kita akan memilih untuk meminggirkan dan memandang hina kepada mereka, tanpa memberi ruang kepada mereka untuk berubah,sedangkan kitalah wasilah perantara kasih sayang Allah Taala kepada hambanya.

Jadilah seperti Rasulullah seperti yang digambarkan Allah Taala sebagai “‘Azizun ‘alihi ma ‘anidtum”, seorang yang turut merasakan kepahitan umatnya yang di timpa kesusahan dan “Rahmatan lil ‘alamin”, pengutusan Baginda s.a.w menjadi rahmat kepada sekalian alam.

Mujahadahlah wahai diri!

→ 6 CommentsCategories: Perawat Mu'min

Sabar bukan sekadar ungkapan

November 10, 2008 · 1 Comment


Bercakap tentang sabar bukanlah susah. Apatah lagi yang di timpa musibahnya adalah orang lain dan bukan diri sendiri. Berat mata memandang,berat lagi bahu yang memikul kesabaran yang bukan sedikit di atas ujian yang mendatang.

Peristiwa yang berlaku pada saya benar-benar menyedarkan saya akan hakikat ini. Bukan tidak pernah orang lain menceritakan ujian yang sama kepada saya dan bukan jua tidak pernah saya menasihati mereka untuk bersabar. Tapi, inilah saat sebenar Allah Taala menilai samada peringatan yang kita berikan kepada orang lain itu benar-benar ikhlas atau sekadar ungkapan yang kosong dari penghayatan. Saya masih ingat peristiwa 26 oktober itu.

Ketika kami bertolak menuju ke Kuantan lebih kurang pukul 12 tengah malam seusai majlis di rumah Pak Lang Ishak di Batang Kali,Hulu Selangor. Memang pada mulanya,kami merancang untuk bertolak lebih awal,tetapi keadaan tidak mengizinkan,tambahan pula saya sendiri di serang batuk selsema pada petang itu.

Menyusuri jalan Genting Highland yang berpusing-pusing dalam keadaan gelap menyebabkan mata saya berpinar-pinar. Mungkin juga kesan ubat yang saya telan petang tadi masih mempengaruhi central nervous system tubuh. Akhirnya lebih kurang pukul 1 pagi, stesen minyak Petronas Genting Sempah di kaki bukit itu menjadi tempat persinggahan kereta saya dan saya tertidur. Lena. Sedar-sedar jam sudah menunjukkan jam 5 pagi dan saya tergesa-gesa masuk ke tandas. Tanpa mengesyaki suatu yang buruk telah berlaku,kami menyambung perjalanan ke Kuantan.

Pukul 6.15, kami tiba di kawasan rehat Temerloh dan saya berhenti untuk menunaikan solat fardhu Subuh. Tidak dapat saya gambarkan perasaan terkejut saya apabila mendapati dompet saya kosong tanpa wang tunai yang baru saya keluarkan semalam di samping 1 kad ATM dan 2 kad kredit. Pantas saya menelefon pihak bank untuk membatalkan kad tersebut, tapi ternyata semuanya bukan rezeki saya. Pencuri tersebut lebih pantas bertindak. Sedih dengan apa yang berlaku?Marah kerana takdir itu menimpa diri? Kalaulah saya tidak di tenangkan oleh isteri dan keluarga, nescaya saya lupa yang tuhan sedang menilai saya ketika itu. Menilai kesabaran saya. Menilai redha saya pada sebuah takdir yang tersirat di sebaliknya suatu hikmah yang besar.

Bukankah Allah Taala telah berfirman di dalam surah Ali Imran tentang hakikat kehidupan yang tidak dapat lari dari ujian.

” Dan kami akan menguji kamu dengan suatu ujian dari ketakutan,kelaparan,kekurangan dari harta,jiwa dan hasil tanaman,dan berilah khabar gembira bagi orang-orang yang bersabar”.

Bukankah Allah Taala juga memujuk hati-hati yang di timpa ujian dengan balasan yang tidak terhingga nilainya supaya kesabaran tetap kukuh di hati walaupun pahit untuk di telan.

Firman Allah Taala yang bermaksud

“Sesungguhnya,di sempurnakan ganjaran bagi orang-orang yang bersabar itu tidak putus-putus tanpa hisab”.

Sebagai orang yang di pilih oleh Allah Taala untuk menerima ujian,seharusnya kita bersyukur kerana kita tidak di timpa dengan ujian yang lebih berat yang tidak mampu di tanggung oleh jiwa.Kita juga tidak di uji dalam perkara agama yang mana ramai mereka yang di uji dalam perkara agama kecundang sehingga membawa mereka kepada kufur dan meninggalkan agama.

Sebab itu,ulama-ulama yang mengupas tentang sabar membawa kita kepada berfikir tentang perkara-perkara tersebut agar hati kita tenang dan redha dalam menerima ujian dari Allah Taala.

Kata Imam Al-Ghazali di dalam Ihya’ Ulumuddin:

Ketahuilah,bahawa kesemua perkara yang di lalui oleh seorang hamba di dalam kehidupan tidak dapat lari dari 2 keadaan: Apa yang sesuai dengan hawa nafsu(kesenangan) dan apa yang di bencinya (kesusahan) , dan setiap keadaan memerlukan kesabaran untuk menghadapinya. Adapun, sabar menghadapi kesenangan ialah tidak cenderung jiwa kepadanya, tidak melampaui batasan dalam bergembira dengannya serta tidak melupakan hak Allah Taala dan hak makhluk yang lain pada nikmat tersebut. Sabar menghadapi musibah dan kesusahan pula adalah dengan menjauhi keluh-kesah, menzahirkan redha pada ketentuan Allah Taala,tetap di atas kebiasaannya dan meyakini bahawa kesemuanya hanyalah pinjaman(dari empunya yang mutlak iaitu Allah Taala)

Sabda Rasulullah s.a.w :

Ajaib bagi urusan orang yang beriman, segalanya adalah baik baginya.Sekiranya di limpahi kesenangan, dia bersyukur dan itu baik baginya. Sekiranya di timpa kesusahan, dia bersabar dan itu juga baik baginya.

→ 1 CommentCategories: Mehnah

Dengan Nama Allah Saya Bermula

October 20, 2008 · 2 Comments

Testing!Testing! Sebenarnya saya sendiri tak pasti sudah berapa kali saya cuba untuk menulis blog sendiri.Saya pernah mencadang kepada kawan saya untuk membuat satu blog yang di dalamnya akan kami tulis bersama tapi selepas 2 tulisan, saya menyepi tanpa berita. Isteri saya juga sudah beberapa kali mencadangkan kepada saya untuk membuat blog sendiri, pun begitu cadangan hanya tinggal cadangan, saya masih beralasan untuk tidak membina blog sendiri.

Semua itu bukanlah kerana kaku idea apatah lagi  ketandusan bahasa untuk menulis. Seingat saya, semenjak sekolah rendah lagi guru-guru yang mengajar Bahasa Melayu sering menjadikan karangan saya sebagai contoh untuk rakan-rakan lain. Kata mereka, imaginasi saya tinggi dan saya pandai menterjemahkan dalam bentuk penulisan yang mudah di fahami.

Itu dahulu.

Namun, sejak saya menjejakkan kaki ke sekolah menengah, saya semakin kurang menulis dengan alasan yang pelbagai.

“Sibuk, tak cukup masa, letih” itulah yang menyebabkan dunia penulisan semakin jauh apatah lagi bila saya memasuki fakulti perubatan di Mesir dan berkawan dengan ulat-ulat buku dan kaki-kaki ’study’, saya terus berhenti menulis.

Kali ini, saya tekad untuk menulis.Apa yang mendorong saya untuk menulis akan saya beritahu dalam posting-posting mendatang. Cuma, untuk sebuah permulaan yang baik, saya mulakan dengan Bismillahirrahmanirrahim.

Ianya sebagai mengambil barakah, sesuai dengan sebuah Hadith

“Setiap perkara yang penting, tidak di mulakan ia dengan menyebut nama Allah,nescaya ia terputus (dari barakah)”.

Doakan agar saya terus mahu dan mampu menulis yang baik-baik sebagai wasilah menyampaikan risalah islam kepada semua.

→ 2 CommentsCategories: General Musings