“كل من عليها فان”

Entries Tagged as 'General Musings'

The Cloak

March 1st, 2010 · No Comments

Tags: General Musings

February 26th, 2010 · No Comments

MediaPlayer.aspx?fileID=53

Tags: General Musings

Syair Taubah

February 7th, 2010 · 1 Comment

تأمل في نبات الأرض وانظر

إلى آثار ما صنع المليك
عيون من لجين شاخصات
بأحداقٍ هي الذهب السبيك
على كثب الزبرجد شاهداتٍ
بأنّ الله ليس له شريك

إلهي لا تعذبني فإنّي
مقرّ بالذي قد كان منّي
يظنّ الناس بي خيراً وإنّي
لشرّ الناس إن لم تعف عنّي

Abu Nawas

Tags: General Musings

Catatan Di Padang 2 (Satu Kemaskini)

November 16th, 2009 · 4 Comments

8 November 2009

3 pagi

Pagi itu, saya di kejutkan oleh bacaan Al-Quran yang di baca oleh seseorang. Rasanya masih terlalu awal untuk bangun kerana jam masih menunjukkan pukul 3 pagi. Di suatu sudut surau itu, saya terpandang seseorang berjubah sedang solat tahajjud. ” Awalnya Haji Zainal bangun, tak letih ke dia seharian menggali perigi semalam ” gumam hati saya sebelum tertidur semula. Malu juga rasanya bila saya yang hanya membuat ‘light duty’ tidak punya kekuatan untuk melawan perasaan mengantuk.

30 minit sebelum subuh, semua ahli rombongan sudah mula bersiap untuk solat subuh. Saya yang terbangun agak lewat terpaksa beratur menunggu giliran untuk menggunakan tandas ‘buatan’ yang di bina 2 untuk kegunaan semua orang.

6 pagi

Alhamdulillah, syukur masih di beri peluang untuk meneruskan kehidupan. Seusai solat subuh berjemaah yang diimamkan oleh Ustaz Abu Bakar, beliau menyampaikan tazkirah yang menyentuh tentang peri pentingnya ukhuwwah islam. Ukhuwwah yang di umpamakan seperti ikatan saudara sedarah sedaging seharusnya melahirkan keprihatinan terhadap masalah yang di hadapi oleh saudaranya dan bukan sekadar mementingkan kesenangan diri sendiri. Seperti biasa, ada yang dapat menumpukan perhatian tetapi ramai antara kami yang tersengguk menahan kantuk di dalam suasana dingin pagi itu.

Pagi itu,kami bermesyuarat sekali lagi untuk menilai gerakerja semalam dan merancang tindakan hari ini. Kumpulan pertama meneruskan agenda membina rumah untuk penduduk sekitar Padang Pariaman dan kumpulan kedua akan menyambung kerja menggali perigi yang tertangguh di Sungai Limau. Menurut mereka, keadaan geografi Sungai Limau yang berbukit menyebabkan air dari  perigi yang di gali tidak mampu untuk naik ke atas. Hari ini,mereka akan membeli 1 lagi pam dan 2 tong air untuk menarik air dari lereng bukit naik ke atas,tempat kediaman penduduk Sungai Limau.

Saya ternanti-nanti pembahagian tugas saya kerana tidak di beritahu di mana khidmat kesihatan akan di adakan pada hari ini. ” Ok, doktor hari ni ikut saya,kita ke Sungai Limau. Saya gali perigi, doktor tengokkan kesihatan penduduk kampung” ujar Haji Zainal. Beliau yang sudah hampir 1 bulan di Padang sudah tahu segala permasalahan penduduk di situ. Sehinggakan, jika beliau bercakap loghat indonesia,pasti orang tidak akan menyangka dia berasal dari Malaysia.

8 pagi

Selepas bersiap-siap dan makan pagi,kami bertolak ke destinasi masing-masing. Saya, bersama 6 sukarelawan wanita dan kumpulan menggali perigi menaiki kenderaan 4WD ke Sungai Limau. Kedudukannya yang berbukit menyukarkan kenderaan biasa untuk sampai ke sana.

Sampai di sana, kami memunggah tangki air dan motor yang di beli di pertengahan jalan tadi. Saya dan ‘jururawat’ yang membawa ubatan pantas di kerumuni oleh kanak-kanak dan orang tua yang datang dengan pelbagai masalah penyakit. Kebanyakannya berpunca dari penggunaan air yang tercemar seperti cirit birit, jangkitan kuman pada kulit dan demam serta sakit tulang kerana terdedah kepada cuaca yang sejuk.

SDC10836

Mengangkat tangki air ke lereng bukit

Pemeriksaan kesihatan warga Sungai Limau

Telaga yang di ‘bore’ berhampiran telaga lama

PERIGI HARAPAN

Selesai sesi pemeriksaan kesihatan, saya menyertai kumpulan menggali perigi di belakang perkampungan tersebut. Di lereng bukit yang curam itu hanya terdapat 2 perigi kecil yang mengandungi air bertanah yang rasanya layak di panggil lopak. Air itulah yang di gunakan oleh penduduk sehari-hari semenjak perigi asal tertimbus selepas gempa bumi. Patutlah mereka kelihatan benar-benar gembira bila ada orang yang membantu mereka mendapatkan air bersih apatah lagi mengepam air tersebut ke atas bukit sekaligus mempermudahkan mereka mendapatkan air tanpa perlu menuruni bukit yang curam itu.

Selesai proses pemasangan paip,berebut-rebut kanak-kanak di paip utama untuk mandi. Sebelum bertolak balik, mereka mengajak kami menjamu selera. Saya ingin menolak kerana rasa tidak selesa dengan proses penyediaan makanan yang tidak bersih. Mereka menggunakan air yang dari perigi yang tidak bersih, memasak di dapur luar rumah bersama ayam dan kucing dan pelbagai lagi faktor yang meng’halang’ selera saya.

Kanak-kanak berebut untuk mandi dengan air yang bersih

Sukarelawan wanita bergambar bersama penduduk kampung berlatarbelakangkan rumah yang runtuh

LAUK AYAM ‘HIDUP’

Haji Zainal mengajak kami menjamah makanan sebagai tanda hormat kepada mereka. Makanlah kami dengan ’slow motion’ di kelilingi oleh orang kampung dan ayam serta binatang ternak yang lain. Tiba-tiba seekor ayam melompat masuk ke dalam lauk kami dan menumpahkan lauk tersebut. Kali ini,saya benar-benar tidak mampu meneruskan makan. Tambahan pula,Haji Zainal bercerita tentang katak yang masuk ke dalam kuah panas semasa beliau makan di rumah mertua beliau di Indonesia. Mujurlah isi perut saya tidak terkeluar dengan cerita ’seram’ tersebut.

5 petang

Hari ini kami sama-sama balik ke posko keletihan. Haji Zainal dan Pak Cik Alias masih bersemangat untuk meneruskan kerja penggalian telaga yang tertangguh di kawasan lain. Selepas kami bersolat asar, saya terlena dan tersedar 1 jam kemudian. Semua kumpulan telah sampai dan masing-masing bercerita tentang pengalaman di kawasan kerja masing-masing. Ustaz Razali asyik bercerita tentang kesungguhan sukarelawan membina rumah untuk penduduk tetapi tuan rumah sendiri sekadar melihat sambil minum di kedai teh. Jiran-jiran sekeliling juga langsung tidak membantu seolah-olah rumah yang di bina bukan untuk kegunaan mereka bersama. Itulah suasana yang saya lihat sepanjang perjalanan siang tadi. Mereka seolah-olah tidak punya semangat untuk membina semula kehidupan dan memadai sekadar cukup untuk makan dan minum sehari-hari. Masa lapang mereka di habiskan di kedai kopi dan menonton siaran parabola di dalam khemah-khemah bantuan. Anak-anak muda mereka hanya kelihatan bersiar-siar dengan motorsikal dan jarang sekali kelihatan mereka menutup aurat dengan baik. Masjid dan surau juga tiada pengunjung dan tertutup sepanjang masa.

PERINGATAN ALLAH

Benarlah telahan kami, penduduk di sini sudah jauh meninggalkan penghayatan agama. Walhal, di sinilah bumi kelahiran ramai ulama’ terkemuka di Indonesia seperti HAMKA dan lain-lain. Penghijrahan ulama’ yang berterusan ke Jakarta dan Bandung meninggalkan penduduk setempat dalam keadaan jahil dari memahami agama. Itulah yang di akui sendiri oleh mereka yang masih punya kehendak untuk mengembalikan masyarakat kepada penghayatan agama seperti yang di warisi dari ulama’-ulama’ silam.

Dalam erti kata lain, semua yang berlaku, samada gempa bumi, tsunami dan pelbagai bencana lain adalah tazkirah dan peringatan dari Allah Taala. Janjinya jelas di dalam Al-Quran bahawa sekiranya penduduk sesuatu tempat itu melupakan agama Allah, nescaya di buka pintu kesenangan dunia di buka seluas-luasnya. Sedang mereka bergembira itulah, Allah Taala mendatangkan bencana dariNya mencabut segala akar umbi kemaksiatan dan kekufuran. Ianya telah berlaku kepada mereka dan boleh berlaku di negara kita sekiranya kita melakukan apa yang mereka lakukan.

Bersambung

Tags: General Musings

Catatan Di Padang 1

November 14th, 2009 · No Comments

Kejadian gempa bumi berskala 7.6 Mw berlaku pada pukul 5 petang waktu tempatan 30 September 2009 berhampiran Kota Padang, Sumatera Barat, Indonesia telah mengorbankan ramai nyawa dan harta benda. Menurut laporan,kerajaan mengesahkan 1,115 kematian, 1,214 cedera parah dan 1,688 cedera ringan.Manakala kira-kira 135,000 rumah rosak teruk, 65,000 sederhana rosak dan 79,000 rosak sedikit.

Walaupun di Malaysia, kesannya tidak begitu di rasai, namun sebagai orang islam, kesengsaraan dan penderitaan yang di alami oleh saudara seislam perlu sama-sama di hayati dan pertolongan yang termampu mesti di hulurkan bagi meringankan beban bahu yang memikul.

Sabda Rasulullah s.a.w : Perumpamaan orang yang beriman itu pada kasih sayang mereka seumpama satu tubuh, jika satu dari anggota tubuh itu mengalami kesakitan, ianya turut di rasai oleh seluruh anggota tubuh pada kesakitan dan berjaga malam kerananya.

PELUANG MEMBANTU

Saya berpeluang untuk pergi ke Padang,Indonesia bersama teman-teman dari Yayasan Amal Malaysia(YAM) pada 7hb November 2009 baru-baru ini. YAM telah menghantar sukarelawannya beberapa kali semenjak gempa bumi itu berlaku bagi membantu penduduk di sana membina kembali kehidupan mereka pasca gempa bumi.

CATATAN HARIAN

7hb November 2009

Hari ini,pukul 3 pagi lagi saya sudah terjaga. Bersiap-siap dan terus bertolak dari Shah Alam ke LCCT bersama isteri dan ibu mertua saya. Selesai solat subuh di surau,saya mencari-cari anggota rombongan,namun seorang pun daripada mereka tidak kelihatan.
Langsung saya menyalami isteri dan ibu mertua dan terus masuk ke balai berlepas kerana khuatir saya sudah di tinggalkan oleh ahli rombongan. Rupa-rupanya, penerbangan di jadualkan pada pukul 8 pagi dan mereka semua masih di luar.

Sebelum bertolak dari LCCT

Sempat menjadi jutawan. Lumayan sih!

Saya berjumpa semua ahli rombongan dari YAM dan kami check in bersama-sama. Tepat pukul 8 pagi,kapal terbang Air Asia berlepas meninggalkan Malaysia menuju ke Sumatera Barat,Indonesia. Tak sampai 1 jam, kami sudah mendarat di Lapangan Terbang Internasional,Minangkabau.

Gambar di Lapangan Terbang Internasional Minangkabau

Kami di sambut oleh 2 pemuda dari Partai Keadilan Sejahtera (PKS), Ahmad Syukrillah yang masih menuntut di Universiti Riau dalam fakulti Ilmu Pemerintahan dan Azimu yang merupakan AJK PKS daerah Padang Pariaman. Dari lapangan terbang, kami di bawa menaiki Kijang Innova ( Jenama Toyota di Indonesia ) ke Posko Belinang ( Pos Koordinasi Bekasi Peduli Minang ) yang terletak di Padang Pariaman. Sempat lagi kami singgah untuk makan Nasi Padang di Restoran Lamun Ombak yang menurut mereka ialah tempat wajib bagi pelancong ke Sumatera. Memang sedap lauk pauk di sana dan sehingga hari ini saya masih teringatkan Kepala Ikan Merah Masak Lemak Cili Padi dan Air Jus Avokado.

Di Malaysia,saya terbayangkan semua bangunan di Padang sudah runtuh dan kami yang datang terpaksa duduk di dalam khemah tanpa bekalan air dan elektrik. Mujurlah, penempatan kami ialah surau separa siap yang terselamat dari kesan gempa dengan sumber air dari bawah tanah yang di pam dengan dapur kecil di belakang surau untuk kami memasak. Syukur, alhamdulillah.

Belum pun sempat saya merehatkan badan, Ustaz Arif dari PKS mengajak saya dan beberapa orang dari YAM untuk turut serta dengan program kesihatan gabungan 7 sekolah dengan Lembaga Perikanan Indonesia.

” Bolehlah pak doktor bercakap-cakap sama pelajar-pelajar tentang penjagaan kesihatan pasca gempa ” kata Ustaz Arif.

” Aduh,apa yang aku nak cakap nanti. Nak cakap Bahasa Malaysia, mesti budak-budak tu tak faham. Kalau cakap Indonesia, aku sendiri yang tak faham ” fikir aku di dalam hati.

Sampai di sana, Ustaz Wan Faizul dari YAM memulakan dengan motivasi dan nasyid-nasyid yang memberi semangat.Tiba masa untuk saya menyampaikan ceramah kesihatan, dan hasilnya, saya sendiri tidak faham apa yang saya ceramahkan gara-gara ingin meng’adjust’ kepada bahasa mereka.

Ustaz Wan Faizul menyampaikan ceramah motivasinya kepada murid-murid

Majlis selesai lebih kurang pukul 12.30 tengahari dengan pembahagian berus gigi,susu dan nasi berlauk ikan kepada semua pelajar. Kami balik ke Posko dan terus tertidur keletihan. Sedar-sedar,jam sudah menunjukkan jam 4 petang.

Saya mengambil kesempatan untuk meninjau sungai di belakang surau tersebut. Menurut cerita Ustaz Arif, ikan-ikan di dalam sungai itu di larang untuk di tangkap kecuali sehari dalam setahun iaitu semasa perayaan Maulidur Rasul. Itu kesepakatan ahli kampung dan sesiapa yang melanggar peraturan perlu membayar denda. Memang betul-betul menguji keimanan melihatkan ikan-ikan kelah yang harganya mencecah RM 80 seekor bermain-main di pinggir sungai seolah-olah tahu dengan peraturan yang menyelamatkan spesies mereka itu.

Ikan kelah yang berenang-renang tanpa gangguan

Lebih kurang pukul 5 petang, rombongan kedua YAM sampai dengan selamat menambahkan anggota sukarelawan seramai 12 orang ( 6 lelaki dan 6 perempuan ). Kami bersiap-siap untuk solat Maghrib dan selesai solat,kami bermesyuarat untuk gerak kerja kemanusiaan yang akan di teruskan pada esok hari.

Kami di bahagikan kepada 3 kumpulan iaitu:

Kumpulan Pertama: Kumpulan yang membina rumah bagi menggantikan rumah yang telah
runtuh.
Kumpulan Kedua: Kumpulan menggali perigi untuk sumber air yang bersih
Kumpulan Ketiga: Kumpulan yang memberikan khidmat kesihatan di sekolah dan kampung.

Seperti yang di jangkakan, saya di tugaskan di dalam kumpulan ketiga bersama Ustaz Abu Bakar, Ustaz Wan Faizul dan 6 muslimat yang lain. Terus saya menyelongkar stor masjid yang menempatkan ubat-ubatan sumbangan NGO yang datang sebelum kami yang kelihatan belum di sentuh lagi.

Selesai semuanya lebih kurang pukul 10 malam, kami semua tidur dengan berhimpit-himpit antara satu sama lain dengan lena sekali.Semoga lebih bertenaga untuk berbakti kepada saudara seislam di Padang esok hari.

bersambung

Tags: General Musings

Ramadhan 1430: Peluangnya sama,natijahnya berbeza

August 22nd, 2009 · 2 Comments

Alhamdulillah, Allah Taala masih memberi peluang kepada kita untuk mengecapi kenikmatan dan keberkahan bulan Ramadhan ini. Jiwa yang sudah 11 bulan terkurung di sangkar dosa kini bebas terbang menuju Penciptanya. Marilah sama-sama kita menyuburkan jiwa di awal perjalanan ini dengan siraman hadith Rasulullah s.a.w tentang fadhilat bulan mulia ini.

قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ اللَّهُ عَزَّ وَجَلَّ كُلُّ عَمَلِ ابْنِ آدَمَ لَهُ إِلَّا الصِّيَامَ فَإِنَّهُ لِي وَأَنَا أَجْزِي بِهِ

Sabda Rasulullah S.a.w : Berkata Allah Azza Wajalla : Setiap amalan anak Adam itu baginya, kecuali puasa, sesungguhnya ia bagiKu dan Aku yang akan memberi balasan kepadanya.

Syeikh Ali Sabuni mensyarahkan maksud hadith dengan mengatakan bahawa setiap amalah kebaikan manusia selain puasa itu terzahir di dunia lagi dengan pujian dan penghormatan di sebabkan manusia lain melihat dan mengetahuinya.Sedangkan amalan puasa itu sifatnya tersembunyi dan hanya di ketahui oleh Allah Taala, maka keikhlasannya tidak di ragui lagi.

Puasa juga mengandungi makna yang besar dalam mentahqiqkan sifat sabar kerana manusia meninggalkan kemahuan dirinya semata-mata kerana Allah Taala. Kerana itu Nabi s.a.w mengatakan bulan Ramadhan sebagai شهر الصبر (rujuk hadith 1246 di dalam Kitab RiyadhusSalihin) dan ulama’ menafsirkan ayat Al-Quran استعينوا بالصبر والصلاة dengan makna berpuasa.

Walau apapun perbahasan tentang puasa dari sudut hukum yang bersangkut paut dengannya, ia sebenarnya merupakan medan muhasabah bagi diri kita untuk kita menilai tahap keimanan kita dan di ‘mana’ Allah Taala di hati kita.

Kata Imam Al-Ghazali di dalam Ihya’ Ulumuddin: Ketahuilah bahawa puasa itu terbahagi kepada beberapa darjat. Puasa orang awam, khawas dan khawasul khawas. Adapun puasa orang awam itu hanya sekadar menahan diri dari perkara yang membatalkan puasa. Puasa orang khawas itu menahan anggota dari melakukan maksiat dan puasa orang khawasul khawas itu ialah berpuasanya hati mereka dari cenderung kepada dunia serta sesuatu selain dari Allah Taala.

Di manakah tahap kita? Tepuk dada,tanyalah iman.

Tags: General Musings

Jabatan ini sekadar watak sampingan?

July 10th, 2009 · 5 Comments

Semalam, saya berpeluang membuat locum di Jabatan Kecemasan bermula dari jam 8 malam sehingga 12 malam. Locum di sini memang menjadi rebutan memandangkan bayarannya yang agak mahal semenjak Kementerian Kesihatan Malaysia menaikkan kadarnya dari RM 30 sejam kepada RM 80 sejam.

Biasanya, peluang ini lebih di monopoli oleh pegawai perubatan yang bertugas di Jabatan Kecemasan itu sendiri dengan alasan mereka bekerja mengikut shif dan tiada peluang untuk membuat oncall seperti pegawai perubatan di jabatan-jabatan lain yang kadangkala menimbulkan suara-suara tidak puas hati dengan monopoli tersebut.

Walau bagaimana pun,sistem ini telah berjaya mengurangkan masa menunggu pesakit yang datang untuk mendapatkan rawatan di hospital kerajaan sekaligus memperbaiki imej hospital yang selama ini di kaitkan dengan masa menunggu yang lama dan rawatan yang tidak mesra pesakit.

CERITA YANG BERTERUSAN

Sementara menunggu pesakit,saya mengambil peluang berjumpa dengan kawan lama yang bertugas di Jabatan Kecemasan. Semenjak menamatkan posting di jabatan tersebut 2 bulan yang lalu,jarang saya berkesempatan untuk bertemu mereka.

Seperti biasa, timbullah cerita tentang jabatan-jabatan lain yang tidak berpuas hati dengan pengurusan pegawai perubatan di Jabatan Kecemasan ini. Memang selama ini, Jabatan Kecemasan di anggap seperti ‘posmen’ yang hanya tahu menghantar pesakit ke wad-wad tanpa menguruskan pesakit di masukkan ke wad di peringkat awal.

Sebab itu, merupakan perkara biasa untuk pegawai perubatan di jabatan ini menerima panggilan yang biadab dan herdikan dari pegawai perubatan di Jabatan Pembedahan,Perubatan Dalaman, Otopedik dan lain-lain kerana mereka menganggap doktor-doktor di sini hanya tahu memasukkan pesakit tanpa ilmu untuk menguruskan mereka.

“Pesakit macam ni pun awak nak masukkan dalam wad. Tak boleh nak urus sendiri ke kat sana”

Marah seorang doktor dari Jabatan Perubatan Dalaman apabila menerima pesakit yang mengalami uncontrolled hypertension/diabetis mellitus yang tidak menunjukkan apa-apa symptom penyakit. (more…)

Tags: General Musings

Soal Jawab Untuk Tibbians

June 30th, 2009 · No Comments

Assalamualaikum Abg Salman. Boleh Tolong jawapkan soal jawab untuk Majalah Tibbians? Terima kasih.- Helmi -

1- Biodata-Nama, Latar belakang pendidikan, Tempat kerja, Status, Nama isteri.

Assalamualaikum w.b.t.

Alhamdulillah,syukur ke hadrat Allah Taala kerana di beri kesempatan untuk bertemu di dalam ruangan ini. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Rasulullah s.a.w yang di utuskan sebagai rahmat bagi sekalian alam.

Terima kasih kepada pihak Tibbians kerana memberi ruang untuk temuramah ini. InsyaAllah ana cuba untuk berkongsi sedikit sebanyak pengalaman sebagai pegawai perubatan di sebuah hospital kerajaan untuk menjadi panduan dan sempadan bagi rakan-rakan yang masih belajar di fakulti perubatan di seluruh bumi Mesir yang penuh barakah.

Nama ana Salman bin Amiruddin dan berasal dari Kuantan,Pahang Darul Makmur. Ana mendapat pendidikan awal di Sekolah Rendah Islam Al-Irsyad, Kuantan di peringkat rendah dan meneruskan pelajaran di sekolah yang sama sehingga tingkatan 3. Selepas itu, ana bertukar ke Maahad Muhammadi Lelaki, Pengkalan Chepa, Kelantan sehingga tingkatan 5.

Selepas keputusan Sijil Pelajaran Malaysia di umumkan, ana memohon untuk melanjutkan pelajaran ke Fakulti Perubatan di Mesir melalui Yayasan Islam Kelantan. Pada bulan 11, tahun 2000, ana memulakan pengajian di fakulti perubatan, Universiti Kaherah dan tamat pada awal 2007.

Sekembalinya ke Malaysia, ana di tempatkan di Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu bermula bulan 6, tahun 2007 di Jabatan Pembedahan dan sekarang berkhidmat di Jabatan Kecemasan dan Trauma.

Ana berkahwin dengan pilihan hati , Ustazah Sumayyah binti Abdul Aziz yang menetap di Shah Alam,Selangor pada bulan 8, tahun 2008 semasa posting ke 4 di Jabatan Ortopedik.


2.Apakah perasaan anda apabila sudah bekerja sebagai HO?

HO sering di sebut-sebut sebagai tempoh yang “mengerikan” bagi seseorang yang memilih bidang perubatan. Kita sering di ceritakan tentang susah dan sukarnya tempoh ini sehingga ada yang tidak yakin akan kemampuan diri untuk melaluinya. Antara ungkapan yang selalu di sebut ialah “ tak cukup tidur , kena marah oleh senior , kerja 2 hari tanpa berhenti “ menyebabkan kita berfikir “ boleh ke aku jadi doktor?”.

Sebenarnya, tempoh itu satu tempoh normal yang di lalui oleh semua doktor di Malaysia, tidak ada yang terlepas.

3.Describe HO life. (mcm bg definition laa)

HO, bagi ana ialah tahun akhir fakulti perubatan. Sebab tu pangkat kita semasa HO ialah pegawai perubatan siswazah. Ada orang kata HO ialah hamba orang,jadi kita bersedia untuk mengikut apa saja arahan orang atasan. Kehidupan normal masih ada cuma terhad di sebabkan oncall yang banyak dan kerja wad yang tak pernah kehabisan.

4.Pengalaman yang tidak boleh dilupai sepanjang menjadi HO?

Banyak pengalaman baru dan menarik yang ana dapat semasa menjadi HO. Di antara perkara yang tidak dapat ana lupakan ialah saat menghadapi kematian pesakit setelah habis ikhtiar yang mampu di lakukan oleh doktor. Perkara tersebut menyedarkan diri ana yang walaupun sehebat mana pun penguasaan ilmu seorang doktor, dia tidak mampu melewatkan ajal yang di tentukan oleh Allah Taala walaupun satu saat. Sebab itu, jiwa perlu tawadhu’ sesama makhluk dan tawakkal perlu tinggi kepada Allah Taala kerana segala sesuatu itu berlaku mengikut kehendakNya dan kita hanya mampu berikhtiar.

5.Adakah persediaan di Mesir mencukupi untuk menghadapi situasi kerja HO di Malaysia?

Belajar di Mesir lebih menumpukan pada teori perubatan berbanding dengan praktikal. Cara Mesir yang lebih kepada pengajaran satu hala juga menyebabkan kita hanya sekadar menerima tanpa memproses maklumat tersebut dalam menguruskan kes-kes pesakit.

Apabila mula-mula bekerja, graduan dari luar Negara selalunya menghadapi “culture shock” kerana terpaksa berdepan dengan satu sistem yang baru. Kita terpaksa bermula dari kosong. Itulah pertama kali kita belajar untuk membuat prosedur-prosedur wajib bagi pesakit seperti mengambil darah,memasang branula, mempreskribsi ubat-ubat biasa dan berbagai-bagai lagi kerja klinikal yang baru bagi kita,tetapi perkara biasa bagi pelajar-pelajar graduan universiti dalam Negara.

Bagi ana , kita perlu bersedia untuk menjadi “fast learner “. Tengok sekali dan terus untuk cuba buat. Mesti ada “ self confidence” dan jangan di lihat kurang berkeyakinan apabila berhadapan dengan apa-apa situasi di hospital.

7. Kekurangan dan kelebihan lepasan graduan mesir pada pandangan anda. Ada tak kena kritik hebat atau dipuji.

Untuk di kritik hebat atau di puji, kita sebenarnya yang memilih. Sebab itu yang penting ialah “attitude” dan peribadi kita sebagai seorang yang bertanggung jawab kepada pesakit.

Kita tidak akan di persalahkan kalau kita melakukan kesalahan dalam usaha kita untuk memberikan yang terbaik kepada pesakit. Kita perlu sentiasa meningkatkan ilmu dan skil dengan belajar secara langsung atau tidak langsung dari sesiapa sahaja walaupun pangkatnya lebih rendah dari kita.

Jangan malu untuk bertanya sesama rakan setugas dan jururawat kerana mereka lebih berpengalaman dari kita

7.Dalam kesibukan kerja ataupun semasa menjadi medical student dahulu.bagaimanakah anda menjaga kesihatan?

Cuba lapangkan masa untuk berjogging seminggu sekali walau sesibuk mana pun kita dengan pekerjaan kita.

Yang penting ialah mengambil pemakanan yang seimbang untuk mendapat

tenaga yang berterusan.

8.Pesanan buat adik2 junior?

1) Mengukuhkan penguasaan ilmu perubatan dari segi praktikal dengan perbincangan dan ‘attachment’ di hospital Malaysia semasa musim cuti

2) Mengambil peluang mempelajari bahasa arab dan ilmu agama berdasarkan manhaj ulama’ yang berdiri atas kitab dan Sunnah, ijma’ dan Qiyas melalui kitab-kitab turath dan majlis ilmu dengan ulama’ muktabar

3) Melibatkan diri di dalam aktiviti kebajikan dan kemasyarakatan.
4) Perkemaskan tarbiyah dalam menyedari kewajibapan dakwah dalam qudwah dan izzah.

Tags: General Musings

Tazkirah Dari Ilahi

June 15th, 2009 · 1 Comment

Dalam 2 minggu ini,banyak saja peristiwa yang menyentuh jiwa saya. Kalau boleh di senaraikan peristiwa dan pengajarannya untuk diri ini meneruskan langkah menyusuri masa depan, mungkin menghadap komputer selama setengah hari atau menulis di kertas berkajang-kajang masih tidak selesai.

Yang lebih merugikan lagi tabiat saya yang suka merangka-rangka sesuatu tanpa di lahirkan dan di terjemahkan di dalam bentuk yang boleh di ulang-ulang melihatnya menyebabkan saya sendiri tertanya-tanya, “Apa sebenarnya yang aku lalui sepanjang hidup ini?”.

Barangkali orang-orang di sekelilingku yang boleh memberikan jawapannya Cuma,khabar dari ardul kinanah, Mesir yang satu ini, benar-benar memberi pengajaran kepada diri.

Kematian, Ketetapan Azali

Mendengarkan berita dari isteri saya tentang kematian pelajar perubatan di Mesir baru-baru ini semacam satu mimpi. Rasanya semacam satu kejanggalan bila di ceritakan tentang orang yang masih muda usianya telah di panggil ilahi. Semacam kita yang memegang ajal ketetapan tuhan sekaligus ianya terzahir dalam hidup kita yang masih muda ini dengan banyak mengejar keduniaan dan meletakkan persediaan bagi menghadapi kematian keutamaan terbawah.

Bukankah Allah Taala berfirman:

Katakanlah (Wahai Muhammad), sesungguhnya kematian yang kamu larikan diri darinya,ia akan tetap menemui kamu.

Sepanjang saya duduk di Mesir, hanya sekali saya menghadapi kematian sahabat terdekat iaitu arwah Razi. Kesedihan lebih terasa ketika itu mungkin di sebabkan saya mengenali dari arwah sejak hari pertama beliau menjejakkan kaki ke bumi Mesir. Mungkin darjat kesedihan orang yang mengenali si mati lebih tinggi berbanding dengan orang yang sekadar pernah mendengar nama mereka.

Walau siapa pun mereka, janji Allah Taala telah mereka temui. Tinggal kita yang masih hidup, perlu terus mendoakan rahmat untuk mereka dan lebih-lebih lagi untuk diri sendiri yang belum pasti hujung usianya. Allahuma ikhtimlana bi husnil khatimah

p/s: Saya selalu merangka-rangka untuk menulis tentang dunia perubatan yang kosong nilai.

Baru-baru ini, saya di beri kesempatan oleh Allah Taala untuk hadir dalam kursus bekam sunnah yang membincangkan mukaddimah tauhid bagi perawat muslim. Harapnya, saya di izinkan Allah untuk menulis tentangnya. (Ada sesiapa yang punya ubat untuk orang yang culas menulis?)

Tags: General Musings

Dengan Nama Allah Saya Bermula

October 20th, 2008 · 2 Comments

Testing!Testing! Sebenarnya saya sendiri tak pasti sudah berapa kali saya cuba untuk menulis blog sendiri.Saya pernah mencadang kepada kawan saya untuk membuat satu blog yang di dalamnya akan kami tulis bersama tapi selepas 2 tulisan, saya menyepi tanpa berita. Isteri saya juga sudah beberapa kali mencadangkan kepada saya untuk membuat blog sendiri, pun begitu cadangan hanya tinggal cadangan, saya masih beralasan untuk tidak membina blog sendiri.

Semua itu bukanlah kerana kaku idea apatah lagi  ketandusan bahasa untuk menulis. Seingat saya, semenjak sekolah rendah lagi guru-guru yang mengajar Bahasa Melayu sering menjadikan karangan saya sebagai contoh untuk rakan-rakan lain. Kata mereka, imaginasi saya tinggi dan saya pandai menterjemahkan dalam bentuk penulisan yang mudah di fahami.

Itu dahulu.

Namun, sejak saya menjejakkan kaki ke sekolah menengah, saya semakin kurang menulis dengan alasan yang pelbagai.

“Sibuk, tak cukup masa, letih” itulah yang menyebabkan dunia penulisan semakin jauh apatah lagi bila saya memasuki fakulti perubatan di Mesir dan berkawan dengan ulat-ulat buku dan kaki-kaki ’study’, saya terus berhenti menulis.

Kali ini, saya tekad untuk menulis.Apa yang mendorong saya untuk menulis akan saya beritahu dalam posting-posting mendatang. Cuma, untuk sebuah permulaan yang baik, saya mulakan dengan Bismillahirrahmanirrahim.

Ianya sebagai mengambil barakah, sesuai dengan sebuah Hadith

“Setiap perkara yang penting, tidak di mulakan ia dengan menyebut nama Allah,nescaya ia terputus (dari barakah)”.

Doakan agar saya terus mahu dan mampu menulis yang baik-baik sebagai wasilah menyampaikan risalah islam kepada semua.

Tags: General Musings