“كل من عليها فان”

Ramadhan 1430: Peluangnya sama,natijahnya berbeza

August 22, 2009 · 2 Comments

Alhamdulillah, Allah Taala masih memberi peluang kepada kita untuk mengecapi kenikmatan dan keberkahan bulan Ramadhan ini. Jiwa yang sudah 11 bulan terkurung di sangkar dosa kini bebas terbang menuju Penciptanya. Marilah sama-sama kita menyuburkan jiwa di awal perjalanan ini dengan siraman hadith Rasulullah s.a.w tentang fadhilat bulan mulia ini.

قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ اللَّهُ عَزَّ وَجَلَّ كُلُّ عَمَلِ ابْنِ آدَمَ لَهُ إِلَّا الصِّيَامَ فَإِنَّهُ لِي وَأَنَا أَجْزِي بِهِ

Sabda Rasulullah S.a.w : Berkata Allah Azza Wajalla : Setiap amalan anak Adam itu baginya, kecuali puasa, sesungguhnya ia bagiKu dan Aku yang akan memberi balasan kepadanya.

Syeikh Ali Sabuni mensyarahkan maksud hadith dengan mengatakan bahawa setiap amalah kebaikan manusia selain puasa itu terzahir di dunia lagi dengan pujian dan penghormatan di sebabkan manusia lain melihat dan mengetahuinya.Sedangkan amalan puasa itu sifatnya tersembunyi dan hanya di ketahui oleh Allah Taala, maka keikhlasannya tidak di ragui lagi.

Puasa juga mengandungi makna yang besar dalam mentahqiqkan sifat sabar kerana manusia meninggalkan kemahuan dirinya semata-mata kerana Allah Taala. Kerana itu Nabi s.a.w mengatakan bulan Ramadhan sebagai شهر الصبر (rujuk hadith 1246 di dalam Kitab RiyadhusSalihin) dan ulama’ menafsirkan ayat Al-Quran استعينوا بالصبر والصلاة dengan makna berpuasa.

Walau apapun perbahasan tentang puasa dari sudut hukum yang bersangkut paut dengannya, ia sebenarnya merupakan medan muhasabah bagi diri kita untuk kita menilai tahap keimanan kita dan di ‘mana’ Allah Taala di hati kita.

Kata Imam Al-Ghazali di dalam Ihya’ Ulumuddin: Ketahuilah bahawa puasa itu terbahagi kepada beberapa darjat. Puasa orang awam, khawas dan khawasul khawas. Adapun puasa orang awam itu hanya sekadar menahan diri dari perkara yang membatalkan puasa. Puasa orang khawas itu menahan anggota dari melakukan maksiat dan puasa orang khawasul khawas itu ialah berpuasanya hati mereka dari cenderung kepada dunia serta sesuatu selain dari Allah Taala.

Di manakah tahap kita? Tepuk dada,tanyalah iman.

Categories: General Musings



2 responses so far ↓

Leave a Comment

Powered by WP Hashcash